Assalamualaikum.gif Assalamu\'alaikum pink image by syauqiyah

Terima kasih kerana sudi melayari blog akak.
Di sini akak cuba tampilkan himpunan resepi harian akak yang agak simple. Diharap ianya menjadi panduan kepada para pengunjung yang minat memasak tetapi kesuntukan masa. Koleksi resepi di blog ini sumenya resepi yang akak pernah masak, kiranya selalu masak jugakla.

Bahan2nyer pulak mudah didapati, senang di masak, pastinya sedap di makan dan menjimatkan masa untuk menyediakannya. Akak cuma guna sukatan agak2 jer, macam stail mak-mak kita. Jadi pandai2la uols nak ubahsuai untuk dapatkan hasil yang memuaskan yer.

Bagi akak, sume anak2 akak sememangnya suka masakan ibunya. Masakan hasil sentuhan tangan seorang ibu tu, sebenarnya lebih sedap dan berkat. Biarpun akak masak gitu-gitu aje, letak bahan ala kadar, tapi anak-anak dan suami makan berselera. Sedap macam mana sekalipun makanan di luar, sedap lagi masakan isteri di rumah. Sebab akak niatkan di hati untuk sediakan hidangan yang terbaik demi anak-anak dan suami tersayang.

Hepi Cooking !!!


Tips Masakan

Elak nasi mentah

Nasi menjadi hidangan utama dalam sajian harian. Begi mengelakkan nasi yang di tanak menjadi kurang masak atau mentah, renjiskan beberapa kali air ke atas nasi yang ditanak. Walaubagaimanapun jangan terlalu banyak kerana boleh menyebabkan nasi menjadi lembik. Biarkan nasi di tanak beberapa minit. Insya-Allah masalah nasi mentah tadi akan masak dan enak dimakan.

Sambal Belacan Lebih Sedap
Cili merah, cili hijau, cili api dan tomato di goreng terlebih dahulu. Kemudian barulah di kisar atau di tumbuk  bersama belacan yang sudah di goreng.  Perahkan asam limau, pasti rasanya lebih sedap dan memuaskan.

Meranggupkan kerabu
Bagi memberi keranggupan pada kerabu, celurkan seketika pucuk paku dan taugeh. Bawang besar juga boleh di hiris halus bagimenambahkan keranggupan kerabu tadi.

Bubur kacang lebih lembut dan cepat masak
Elakkan memasukkan garam atau gula semasa merebus kacang supaya kacang tidakkeras dan cepat masak. Tunggu sehingga kacang menjadi empuk, barulah masukkan garam dan gula.

Bubur lebih pekat
Gunakan sagu biji untuk memekatkan bubur. Masukkan sagu se baik sahaja santan mula mendidih. Jangan lupa bilas dulu sagu dengan air bersih ya!

Untuk merangupkan cucur udang 
Jika anda ingin merangup dan menambah selera cucur udang, caranya ialah masukkan empat sudu besar minyak masak untuk satu kilo tepung gandum. Ketika masak jangan kuatkan api biar sederhana dan untuk melembutkan rasa di dalamnya masukkan serbuk penaik satu sudu teh kecil dan biarkan lima minit. Selamat memcuba ya.


Membuat sambal tumis yang sedap 
Sambal yang sedap haruslah mengunakan cili kering. Cili kering digunting kecil-kecil bagi membuang bijinya dan lalu direbus seketika. Apabila sudah direbus cili tadi hendaklah ditoskan selama 20 minit. Kemudian cili kering itu digoreng di dalam minyak yang panas dalam masa 10 minit tetapi jangan terlalu garing. Apabila sejuk cili tadi hendaklah dimesin bersama minyak yang digoreng tadi dan disimpan di dalam peti ais. Ia akan tahan selama 3 minggu. Apabila ingin memasak sebarang sambal ianya tidak memerlukan minyak yang banyak dan masa untuk memasak sungguh sekejap dan kita akan dapat sambal yang sungguh sedap. Sambal yang kita masak cepat pecah minyak dan wangi.

Harumkan Bawang Tumis

Bagi menaikkan bau wangi ketika menumis bawang putih, pastikan bawang putih itu dicincang dahulu. Untuk bawang merah pula, masukkan sedikit garam ketika
menumis.

Mengempukkan daging
Kebanyakan daging yang di beli di pasar sukar menjadi empuk setelah direbus dalam masa yang lama. Bagi memudahkan daging menjadi empuk dalam masa yang singkat, cuba masukkan sedikit cuka makan ke dalam periuk ketika merebus daging tadi. Insya Allah daging akan menjadi empuk dalam masa yang singkat.

Merangupkan ayam goreng
Semasa hendak mengoreng ayam, perah sebiji asam limau nipis ke dalam minyak, kemudian masukkan ayam. Hasilnya ayam kita cepat rangup. Selamat mencuba.

Hilangkan Bau Hamis Daging
Rebus daging sampai mendidih airnya. Biarkan terus sampai berbuih. Buangkan
buih tersebut sedikit demi sedikit dengan menggunakan senduk sehingga buihnya
habis. InsyaAllah dengan cara ini anda akan dapat mengurangkan kandungan
kolestrol dan bau hamis daging.

Asam Keping Hilangkan Gatal Keladi
- Untuk menghilangkan rasa gatal pada sayur keladi, cuci dan rebus keladi dengan beberapa asam keping selama beberapa minit.
- Tos airnya dan kemudian masak seperti biasa.

Donat gebu & lembut
Petua nak bagi donat lembut dan gebu ialah anda bolehlah membuatnya sendiri dengan mencampurkan dua atau tiga biji ubi kentang yang telah direbus dan kemudian dilenyekkan ke dalam tepung bancuhan donat. Insya Allah donat tadi akan lembut dan sedap rasanya walaupun sudah sejuk.

5 Petua Mudah Melembutkan Daging
Selalunya bila anda menikmati juadah yang berasaskan daging seperti rendang dan kari, tentu lebih berselera jika daging tersebut lembut dan empuk. Nikmatnya memang tak terhingga, kan?
Justeru itu, kalau anda bercadang nak masak lauk-pauk yang berasaskan daging seperti daging black pepper, kari ataupun rendang daging, berikut ada 5 cara melembutkan daging  yang boleh anda cuba.
Cara Pertama:

  1. Anda sediakan beberapa helai daun nangka dan bersihkannya dahulu.
  2. Kemudian, masukkan saja daun nangka tadi ke dalam periuk bersama dengan daging yang ingin direbus.
Cara Kedua:
  1. Anda ambil daun pisang abu dan lapkannya dulu sampai bersih.
  2. Kemudian, carik-carikkan daun pisang abu tadi.
  3. Lepas tu, masukkan saja ke dalam kuali atau periuk bersama-sama dengan daging yang ingin dimasak.
Cara Ketiga:
 
Anda perlukan setengah atau sebiji pinang tua.
Kupaskan dan bersihkan pinang tua tadi.
Setelah itu, masukkannya ke dalam periuk (kuali) untuk dimasak sekali dengan daging
  
Cara Keempat:
  1. Cara ini pula khas untuk anda yang nak buat sate daging.
  2. Memula, hiriskan dahulu daging tersebut.
  3. Seterusnya, lumurkan daging tersebut dengan bahan-bahan perencahnya.
  4. Kemudian, bungkuskan daging dengan daun betik.
  5. Biarkannya selama 1 jam.
  6. Setelah itu, barulah anda bakar sate daging tadi dan hasilnya daging itu lebih wangi dan empuk.

Cara Kelima:
  1. Anda perlukan sebatang tebu. Anda boleh gunakan sebarang jenis tebu yer.
  2. Buangkan dulu kulit tebu dan bersihkannya.
  3. Kemudian, anda potongkan tebu tadi secara memanjang seruas-seruas.
  4. Kalau daging tu nak dibuat rendang, masukkan saja isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk penyediaan rendang. Kemudian, masaklah sehingga rendang daging tu empuk.
  5. Andainya anda nak buat sup daging pula, rebuslah isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk mereneh sup. Isi tebu tersebut berfungsi untuk melembutkan daging dan menambahkan kelazatan sup.
Sekarang anda dah tahu 5 petua untuk melembutkan daging, kan? Lepas ini bolehlah anda cuba mana-mana cara di atas. Mudah-mudahan masakan daging anda lebih enak nanti. 




Petua Cekodok Pisang Sedap Dan Cantik
Untuk mendapatkan cekodok pisang (jemput-jemput pisang) yang cantik dan sedap, seeloknya pisang dikisar bersama gula sebelum diadun bersama tepung. Kemudian tutup dan biarkan adunan selama lebih kurang empat jam sebelum digoreng. Selain itu adunan tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.

Panduan Dan Tips Masakan/Di Dapur
a) Sekiranya anda mahu puding karamel (puding gula hangus) yang anda buat menjadi lebih licin dan cantik, gunakan susu pekat manis F&N.

b)Jangan buang lebihan sambal belacan atau sambal tumis yang tidak habis. Simpan di dalam peti sejuk dan boleh digunakan semula dalam tumisan anda dalam banyak jenis masakan seperti kuew teow goreng, mee goreng, nasi goreng dan sebagainya.

c)Kalau anda mahu stok ikan yang anda beli di pasar sentiasa segar dan tahan lama, terus menyimpanya di dalam ruangan sejukbeku tanpa menyiangnya terlebih dahulu.

d)Untuk mendapat doh roti yang naik dengan sempurna, rehatkan doh tersebut di bawah tuala lembab dan letakannya di atas peti sejuk.

e)Lain tangan lain jadinya, walaupun resepi yang sama. Sebenarnya setiap kali menumis sambal atau kari, pastikan anda menumis sehingga naik minyak dan harum baunya kerana masakan yang berbau enak pasti enak rasanya.

f)Sekiranya anda membuat kek, pastikan dulang pembakar di sapu mentega terlebih dahulu sebelum diletakkan kertas minyak di atasnya.

g) Kalau anda mahu biskut coklat chip yang anda buat lebih enak dari famous amos, tukarkan penggunaan serbuk koko kepada serbuk milo dan gunakan hanya kacang pecan.

h) Puding roti yang enak dan gebu bukan di buat menggunakan roti biasa tetapi roti crossaint.

i) Untuk menghasilkan dadih susu yang asli, hanya gunakan susu segar sahaja dan campurkan satu cawan gula dan satu cawan 'coffee mate' untuk setiap paket dadih segera (termasuk gula yang disertakan di dalam paket itu).

j)Membeli dengan lebih bijak. Mayonis yang enak dengan harga yang jauh lebih rendah adalah jenama Kimball.

k)Anda tidak akan tersilap, bila membeli yogurt jenama Dutch Lady kerana anda tidak ingin mencuba jenama lain kerana yogurt jenama Dutch Lady memang menyelerakan.